Thursday, April 22, 2010

GAMIS BANTAH KEHADIRAN BLAIR DI MALAYSIA

http://4.bp.blogspot.com/_qLW6caxBIaQ/S9AcET0wS4I/AAAAAAAAAy4/87Z-A2gdecQ/s1600/gamis3.jpg



Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS) membantah sekeras-kerasnya kehadiran penjenayah perang, Tony Blair ke Malaysia.Menurut sumber, sebuah syarikat Success Resources berpengkalan di Singapore dan juga beroperasi di Malaysia akan menjemput bekas Perdana Menteri Britain , Tony Blair untuk menyampaikan ceramah di National Achieves Congress 2010 Pada 24 hb April 2010 . GAMIS memandang serius jemputan penjenayah perang tersebut kerana ianya seolah-olah penghiaan kepada pencinta keamanan di seluruh dunia.

Menurut Presiden GAMIS, saudara Mohd Idris Bin Mohd Yussoff, penghormatan terhadap Blair sebagai penceramah dalam kongres tersebut seolah-olah menunjukkan betapa pihak penganjur tidak sensitif terhadap penderitaan berjuta rakyat Iraq, mangsa yang tidak bersalah akibat tindakan jenayahnya dan perasaan rakyat Malaysia yang menyokong mereka sepenuhnya. Bantahan ini dibuat atas dasar Blair adalah penjenayah dan pembunuh besar kerana bersekongkol dengan bekas Presiden Amerikat Syarikat , George Bush yang bertanggungjawab merencana dan melaksanakan pencerobohan ke atas Iraq .

"Dalam keadaan hati rakyat Malaysia yang masih luka dengan penglibatan syarikat Yahudi APCO Worldwide dan Asiasoft dalam pentadbiran negara serta pendirian Perdana Menteri selepas bertemu Barack Obama berkaitan Afghanistan dan Iran, isu ini seola-olah menambah luka di hati kita. Pihak Success Resources seolah-olah tidak memandang kepada sensitiviti rakyat ini serta pejuang keamanan seluruh dunia. Tony Blair sepatutnya berdepan dengan perbicaraan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa di atas jenayah kejam yang dilakukan olehnya, bukan mendapat penghormatan sebegini," kata Mohd Idris.

Justeru, GAMIS, NGO mahasiswa Islam yang turut berpendirian dengan NGO-NGO yang bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa agar pihak penganjur membatalkan syarahan itu bagi menghormati permintaan dan perasaan rakyat Malaysia dan menyeru orang ramai supaya mengadakan demonstrasi terhadap kunjungan Blair.Kepada mereka yang mampu untuk mendekati Blair diseru untuk menguatkuasakan tangkapan ke atas beliau kerana tindakan beliau melakukan jenayah kemanusiaan. GAMIS turut menggesa pihak kerajaan Malaysia agar mengharamkan penjenayah perang seperti Blair dan Bush daripada memasuki Malaysia.

Blair dikecam di seluruh dunia semenjak pencerobohan Amerika Syarikat-Britain terhadap Iraq pada tahun 2003 yang telah mengakibatkan kekejaman terhadap rakyat Iraq dan kemusnahan sepenuhnya tanah air mereka. Lebih daripada 1 juta orang mati akibat daripada perang itu. Hampir 5 juta orang kehilangan tempat tinggal, 2.7 juta di dalam negara dan 2.3 juta lagi menjadi pelarian di negara jiran. Ekonomi Iraq, hospital, sekolah, dan infrastruktur untuk kemudahan asas sosial turut musnah.

Wednesday, April 21, 2010

AWAK SUDI JADI ISTERI KEDUA SAYA??


"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Syazni tegas dan yakin.

Tiba-tiba mata Fulanah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.

"Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!" pekik Fulanah dengan suara tersekat-sekat.

Mata Syazni liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Fulanah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Fulanah langsung tidak selari dengan penampilannya.

"Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya… " Fulanah mula sebak.

"Tak. Maksud saya…"

"Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!" potong Fulanah dengan kasar.

"Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?" suara Fulanah semakin tinggi, setinggi egonya.

Syazni diam seribu bahasa. Dia sudah tahu `Fulanah' di sebalik Fulanah yang dia kenal selama ini. Fulanah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Syazni seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu. Syazni muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya.

"Ada hikmah," bisik hati kecil Syazni, sekecil pandangannya terhadap Fulanah.

Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Syazni sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak. Keyakinan serta keaktifan Syazni berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam persatuannya. Malah, Syazni dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian lama.

Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Fulanah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Syazni. Bagi Fulanah, Syazni seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Syazni melamarnya menjadi isteri kedua. Syazni masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fulanah nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan Fulanah, namun sikap Fulanah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Syazni tersebut.

Bagi Fulanah, Syazni tak ubah seperti lelaki lain. Gerak kerja dakwah Syazni berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu kehilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Syazni semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya. Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Syazni – sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Syazni.

Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Syazni dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Syazni sekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Syazni menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Fulanah atau tidak? Syazni bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut. Setelah merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Syazni berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya.

Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Syazni mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Fulanah.

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Syazni tanpa segan silu.

"Sudi," jawab Nusaibah ringkas.

"Er, betul ke ni?" tergagap Syazni menerima jawapan Nusaibah yang tenang dan yakin.

Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Syazni.


"Kenapa saya?" tanya Syazni ingin tahu.

"Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak," jawab Nusaibah yakin tetapi sedikit malu.

"Baiklah," jawab Syazni tersenyum.

Akhirnya, Syazni dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini. Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Syazni terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Syazni semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Syazni membawa Nusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya. Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Syazni. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.

"Abang, saya nak tanya boleh?" sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.

"Ye sayang?" jawab Syazni sambil memandu.

"Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang," luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.

"Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa," Syazni menoleh sedikit ke arah Nusaibah, sambil tersenyum.

"Yeke? Dia datang program tu rupanya," jawab Nusaibah riang.

Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Syazni dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Syazni yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Syazni aktif dalam dakwah sebelum ini.

"Kita dah sampai," Syazni membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail di tangannya.

Syazni berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.

"Itu isteri pertama abang," Syazni menuding jari ke arah khemah tersebut

"Mana bang?" Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Syazni.

"Tak nampak pun," Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.

"Siapa nama isteri pertama abang?" Nusaibah sangat berdebar.

Syazni tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.

"PERJUANGAN, " jawab Syazni.

***************

Sedarlah semua wahai muslimah serikandi dan perwira Islam ... kalian akan dimadukan!
Jika dirimu bakal seorang isteri…

Terimalah kenyataan bahawa anda akan dimadukan, bahkan anda bukan isteri pertama yang bakal dikahwini tetapi anda adalah bakal isteri kedua kerana isteri pertama bagi suamimu ialah perjuangan Islam!

Perkahwinan ini telah lama dilangsungkan…

Kehadiran dirimu adalah untuk bersama berganding bahu memperjuangkan islam bukan menjadi batu penghalang perjuangan suamimu. Janganlah jadikan dirimu sebagai punca serta merendahkan harga diri mu dengan terjadinya perceraian suamimu dengan isterinya yang pertama iaitu perjuangan islam!

Jika dirimu bakal seorang suami…

Terimalah bahawa anda bukanlah suami yang pertama yang bakal dinikahinya atau insan yang pertama yang dicintai dan disayangi oleh bakal isterimu! Bahkan dirimu adalah insan yang kedua yang dicintainya, kerana suami yang pertama baginya ialah perjuangan islam dan memartabatkannya.

Dia mencintaimu kerana dirimu mencintai islam dan memperjuangkan islam. Jika dirimu tidak sedemikian, sekelumit cinta pun tidak akan lahir dalam sanubari isterimu…


Bantulah isterimu atau suamimu dan kuatkanlah dia untuk meneruskan perjuangan islam ke serata dunia!!Takbir ! Allahuakbar!

sumber: http://www.iluvislam.com


Tuesday, April 13, 2010

Kenal, Kasih, Korban



Kenal membuahkan kasih, kasih pula melahirkan pengorbanan. Pengorbanan itulah hasil tarbiyyah yang paling gah. Segah tembok besar negeri China, sekadar dijerit dan disalak tidak mungkin roboh menyembah bumi.

Terpegun kita mendengar cerita-cerita pengorbanan. Seronok didengar, bersemangat selepas mendengar, tapi bila sampai kepada giliran kita, kita lari mencicit kebelakang. Pengorbanan hanyalah sekadar laungan lantang di mulut. Cerita pengorbanan hanyalah untuk diakhiri dengan aliran air mata sahaja.

Susah benar untuk membentuk kenal. Manusia bermacam ragam. Kenal bukanlah sekadar tahu nama, asal dari mana, ambil bidang apa, tetapi kenal itu adalah kenal yang sedalam-dalamnya, luas maksudnya. Naqib saya di sekolah dahulu, mendefinisikan kenal yang paling hebat ialah masuk ke rumah sahabat dan menjejak tandas dirumahnya, lalu melangsaikan hajat disitu. Ketawa besar kami dikala itu.

Maka itulah kenal yang tersangat ajaib. Daripada kenal yang sangat ajaib ini, kasih berputik memekar. Kasih itulah yang dikatakan ukhuwwah. Kasih inilah fitrah manusia. Semua tahu kasih tidak boleh dibuat-buat, apatah lagi dipaksa-paksa. Kasih tidak mungkin terjadi dengan taburan dan lontaran wang ringgit, tidak juga dengan tawaran habuan kesenangan dunia tetapi ianya terlahir dari kenal yang mendalam.

Nabi S.A.W pesan kepada kita,

“Tidaklah beriman seseorang di antara kamu sehingga ia mengasihi saudaranya sebagaimana ia mengasihi dirinya sendiri” - Hadits Riwayat al-Tirmidzi

Nabi Muhammad S.A.W adalah contoh terbaik insan yang memiliki teladan sifat kasih. Baginda mengasihi sahabat , sahabat pula teramat-amat mengasihi baginda. Sehinggakan Umar tidak dapat menerima kemangkatan Baginda, lalu Abu Bakar memujuk-mujuk Umar.
Sesiapa yang menyembah Muhammad, Muhammad sudah wafat tetapi siapa yang menyembah Allah swt Dia kekal abadi.

Kenyataan Abu Bakar dibantu oleh firman Allah swt yang bermaksud:
Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau dia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? – (Ali Imran : 144.)

Demikianlah sebuah kasih agung yang terukir didalam sejarah.

Bermula dengan kasih, akan tertonjol pengorbanan di penghujungnya. Namun malang, banyak manusia tersalah memberi kasih, diakhirnya tersalah memberi pengorbanan. Adapun di IPT semakin banyak pengorbanan belayar di bahtera-bahtera haram tanpa lesen L, P mahupun kompeten. Buahnya ialah rencana-rencana di dada akhbar, bayi dicampak dalam tong sampah. Paling durjana, bayi dibakar.

Tapi, itulah pengorbanan. Bermula dari kenal, kemudian berputik kasih. Sifirnya mudah, salah kenal, maka kasihnya juga akan tersalur ke jalan yang salah.

Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man pernah cakap,

“ Tarbiyyah yang paling ulung ialah tarbiyyah yang mampu melahirkan manusia yang sanggup berkorban”

Justeru, pengorbanan yang sepertimana yang perlu tertanam dalam diri umat ini? Sedangkan kita digolongkan sebagai umat terbaik, dengan beberapa kriteria mudah yang Allah gariskan, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan beriman kepada-Nya.

Sebelum kita mulakan langkah berkorban. Ayuh kita kenal apa yang perlu kita korbankan berdasarkan status kita sebagai umat terbaik. Kita mesti kenal dan tahu kenapa kita mesti berkorban.

Jomlah kita kenali perjuangan kita. Semestinya, jelasnya kenal kita ini kepada perjuangan akan membawa kepada muncul kasih untuk menghulurkan pengorbanan kearah meng-izzah-kan Islam. Kenal dengan orang-orang yang berjuang akan dapat menyemai kasih dan menyuburkan Ukhuwah Islamiyah.

Datanglah tohmahan, ujian, tawaran dunia, emas, wang ringgit. Kesemua itu dikesampingkan apabila kenal dengan perjuangan. Datanglah keletihan, semua itu lenyap sama sekali dek kerana Ukhuwah Islamiyyah meleburkannya. Itulah keramatnya Kenal, Kasih dan Korban.

Tapi awas, jika terus berkorban tanpa bermula dengan kenal yang baik. Maka jangan hairanlah, satu hari nanti pengorbanan itu hanyalah sekerat jalan saja. Gugur tiada pusara, menjadi bualan orang, malu sepanjang zaman!.

Syakur Ibrahim

Saturday, April 10, 2010

Mutiara Kata Buat Mujahid


  • Sebuah rumah tangga teguh bahagia kerana ketaatan kepada ketuanya, bukan kerana kegalakan mencari kebebasan bersuara di dalamnya. Disiplin adalah patuh. Istiqamah adalah cekal. Ayuh, patuh dan cekal berjuang! - Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz
  • Menjadi seorang pejuang bermaksud bersedia patuh kepada peraturan sebagai seorang tentera. Ia menuntut disiplin pada tahap tertinggi. Bagaimana boleh dibayangkan sebuah kemenangan yang dibarisi para tentera yang mempunyai disiplin yang lemah? - Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz
  • Menjadi seorang muslim bererti memasuki perlumbaan menuju kesempurnaan. Kesempurnaan adalah berusaha menjadikan diri semakin dekat dengan Allah yang esa dan memperolehi keridhaanNya. Kemuncak perlumbaan adalah apabila anda menjadi pejuang Islam yang ikhlas. - Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz
  • ANDAI perjuangan ini mudah pasti ramai yang menyertainya ANDAI perjuangan ini singkat pasti ramai yang istiqomah ANDAI perjuangan ini menjanjikan kesenangan dunia pasti ramai yang tertarik padanya tapi hakikat perjuangan bukan begitu, turun naiknya, sakit pedihnya, umpama kemanisan yang tidak terhingga - Hassan Al-Banna
  • Perbaikilah dirimu disamping kamu menyeru seseorang ke arah kebaikan. - Hassan Al-Banna
  • Maka diatas tonggak kekuatan itu, dibina padanya asas keutuhan kamu, dan perbaikilah dirimu, dan tumpukanlah akan seruan dakwah mu serta pimpinlah umat ini kearah kebaikan, disamping ingatlah bahawasanya Allah sentiasa bersamamu dan Dia sekali-kali tidak mensia-siakan amalanmu - Hassan Al-Banna
  • Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah, gementarlah hati mereka,dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, bertambahlah iman mereka (kerananya) dan kepada Tuhannya-lah mereka bertawakkal.” (al-Anfaal:2)
  • Orang yang tidak pernah dibakar panas mentari, mustahil menghargai rimbun berteduh - Ustaz Hasrizal Jamil, saifulislam.com
  • Kita menghendaki pemerintahan Islam yg membawa rakyatnya ke masjid, kemudian membimbing manusia dalam petunjuk Islam sebagaimana Islam menjadi petunjuk bagi para Sahabat Rasululllah SAW dimasa dahulu. Oleh kerana itu kita tidak mengakui sistem pemerintahan yg tidak ditegakkan diatas landasa Islam dan tidak bersumber darinya. - Hassan Al-Banna
  • Ketahuilah olehmu bahawa utk mencapai kematian yg mulia itu, kamu terpaksa mengorbankan kesenangan dunia ini, maka Allah akan memberikan (syahid) kepadamu, jika sekiranya kamu merebut kemuliaan syahid di jalanNya - Hassan Al-Banna
  • Kebahagiaan itu diibaratkan seperti sebatang pohon yang rendang, tempat tumbuhnya adalah jiwa dan perasaan, ketakwaan kepada Allah adalah merupakan air, udara dan cahaya yang membantu pertumbuhannya - Yusuf Al-Qardhawi
  • Tarbiyah mengajar kita untuk bisa memahami Islam sebagaimana Rasulullah dan para sahabatnya juga memahami Islam. Selayaknya tarbiyah bukanlah datang dari salah satu golongan saja, kerana sejatinya Islam adalah tarbiyah itu sendiri. Islam mendidik manusia untuk keluar dari kegelapan menuju cahaya, dari penyembahan ...kepada sesama manusia menuju penyembahan hanya kepada Allah. - Partai Keadilan Sejahtera
  • Semulia-mulia manusia ialah siapa yang mempunyai adab, merendahkan diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan ketika berdaya membalas dan bersikap adil ketika kuat.. - Khalifah Abdul Malik bin Marwan
  • Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. - (Al Baqarah:216)
  • ”Ingatlah olehmu dua perkara, iaitu kesalahanmu kepada orang lain dan kebaikan orang lain kepadamu. Lupakan dua perkara, iaitu kebaikanmu pada orang lain dan kesalahan orang lain kepadamu.” - ahli hikmah
  • Sekiranya kamu membiarkan mereka beberapa ketika tanpa peringatan, pendidikan dan tanpa bimbingan seterusnya berkemungkinan mereka akan kembali semula kepada suasana lupa dan lalai. Lantas kita menyangka bahawa mereka telah berpaling dari kita dan dari dakwah Islam padahal pada hakikatnya, kitalah yang melupakan mereka dan mencuaikan mereka. Jadi kitalah sebenarnya yang bersalah. - Syeikh Mustafa Masyhur