Sunday, March 21, 2010

Kelesuan Haraki dalam Gerakan



Saya sangat mengagumi ahli ahli jamaah-jamaah Islam, kerana mereka memiliki dan menghadiri banyak program-program pentarbiyahan pembentuk jiwa, program menghidupkan malam dan pelbagai lagi program-program yang menambahkan ilmu dan kefahaman terhadap Islam, menambah cinta kepada Allah dan memupuk rindu pada Rasul.

Namun begitu, saya lebih mengagumi ahli gerakan Islam kerana mereka bukan hanya sekadar berteori, bahkan mereka turun kelapangan mempraktikkan segala teori yang dipelajari dan sirah perjuangan Rasullullah s.a.w sentiasa dijadikan pembakar semangat memberi motivasi unggul dalam jiwa.

Diumpamakan seperti setiap enzyme adalah protein, sebaliknya setiap protein tidak semestinya enzyme.Maka, inilah perbezaan ketara yang ada pada ahli gerakan, mereka juga adalah ahli jamaah, tetapi ahli jamaah tidak semestinya adalah ahli gerakan. Alangkah beruntungnya menjadi ahli gerakan ini.

Dalam pada itu, ahli-ahli jamaah sering mendengar ungkapan, “ Perjuangan Islam itu tidak akan sekali-kali direntasi dengan hamparan karpet merah, bahkan jalannya sentiasa ditabur duri-duri yang menyakitkan”. Ungkapan teori keramat ini selalu kita laungkan dalam usrah, rehlah, tamrin dan mukhayyam. Cuma persoalannya disini, berapa ramaikah pemuda/i yang sanggup mempraktikkan teori ini dilapangan yang sebenar?.

Apabila diminta untuk melaksanakan sesuatu kerja Islam, kebanyakkannya kerap mengeluh, terkadang juga sering mengelak dengan ciptaan alasan-alasan supaya ianya kelihatan munasabah di pandangan akal. Sewajarnya pada setiap diri ahli gerakan merenung dan insaf dengan teguran Allah kepada kita seperti firman di bawah ini :

Hai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya apabila dikatakan kepada kamu: `Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah)` kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit. - (At-Taubah : 38)

Benar sekali bahawa membawa panji-panji Islam turun ke lapangan adalah sesuatu yang memenatkan dan meletihkan, saya sering melihat sahabat-sahabat terlantar letih selepas program – program yang dianjurkan. Terkadang saya tersenyum sendirian kerana saya juga pernah mengalami keletihan yang seperti itu, saya berdoa semoga usaha dan keletihan yang diperoleh ini menyumbang saham yang besar di akhirat kelak.

Namun apabila sebilangan kecil ahli gerakan membiarkan keletihan ini berpanjangan maka mulalah kita melihat ibadah khusus dilaksanakan dengan sambil lewa, ibadah umum pula hanya dipandang sebelah mata. Ibadah seolah-olah dilihat sebagai hobi dan bukannya menjadi kewajipan.

Solat berjamaah kadang-kadang diabaikan, Al-Quran jarang melekat di tangan dikala lapang, puasa sunat mungkin hanya ketika diadakan majlis iftar jamaie yang mungkin hanya 2-3 kali setahun. Majlis-majlis ilmu sangat rendah kehadiran ahli gerakan, bahkan mereka hanya bergantung kepada rehlah dan tamrin sahaja untuk memperoleh ilmu.

Terkadang juga jika dihitung, kebanyakkannya mungkin hanya qiyam dalam 10-20 kali setahun iaitu didalam rehlah-rehlah, tamrin-tamrin, mabit-mabit dan mungkin juga ketika terjaga ditengah malam akibat sakit perut ataupun ketika bangun kerana ingin menonton perlawanan bola sepak.

Inilah gejala kelesuan haraki yang melanda sebilangan kecil ahli gerakan. Lesu dalam tarbiyyah diri menyebabkan hidupnya berkecamuk dengan pelbagai konflik, pada zahirnya kita melihat mereka kuat bekerja tapi dalam hatinya mengeluh tidak ikhlas. Ukhuwah Islamiyyah menjadi longgar bahkan runtuh sama sekali, Akhlak Islamiyyah juga hilang begitu sahaja dan akhirnya mewujudkan risiko futur(gugur) dalam perjuangan. Na’uzubillah.

Gejala kelesuan haraki ini mesti segera diatasi. Kita mahukan jundullah yang hebat luar dan dalamnya. Kita mahukan jundullah itu adalah pejuang yang dekat dengan Allah, sayang kepada Rasulnya dan hebat dimata masyarakat.

Oleh itu, ahli gerakan mesti bermuhasabah melihat gerak kerja Islam ini bukanlah hanya sebagai satu kerja harian, iaitu keluar bekerja, dan pulang dengan keletihan. Tetapi mesti melihat gerak kerja Islam ini dengan sifat ikhlas kerana Allah, bekerja untuk mendapat keredhaan-Nya dan memberi manfaat kepada masyarakat disekitar kita.

Ayuh kita renung pesanan Murabbi saya ini, semoga kita semua thabat(tetap) dalam perjuangan ini dan sama sekali tidak disingkirkan oleh Allah dari jalan ini. Amin.

“Membawa panji-panji Islam itu bukanlah satu perkara main-main, ianya adalah amanah yang mesti dilaksanakan dengan bersungsuh-sungguh. “- Tuan Guru Hj. Zulkifli Hj. Ismail, Baitul Qurro'

Syakur Ibrahim