Thursday, January 14, 2010

Kembali menghadap Sang Pencipta


"Akh, jumpa lagi nanti di Perak"

Itulah dialog terakhir saya kepada Allahyarham Akhi Fadhiri, sahabat seperjuangan dari UPSI dalam satu program bersama.

Dan ditakdirkan Allah, selang dua hari selepas program, satu sms dihantar oleh seorang sahabat memberitahu bahawa Akhi Fadhiri dan seorang lagi sahabat, Akhi Faizol sudah kembali ke rahmatullah akibat kemalangan antara motorsikal dengan sebuah lori di Tanjung Malim pada awal pagi Isnin.

Ketika itu saya baru sahaja tamat kelas di Hospital Ipoh dan terus bergegas bersama rakan-rakan ke Hospital Teluk Intan bagi menziarahi Allahyarham dan keluarga beliau.

Kami bertemu kembali di Perak, tetapi dalam keadaan rohnya sudah diambil kembali oleh Sang Pencipta. Saya seakan-akan masih tidak percaya dengan apa yang telah berlaku, tetapi itulah takdir Allah yang sememangnya tidak mampu untuk kita tangguh walaupun sesaat.

Saya lebih mengenali Akhi Fadhiri berbanding Akhi Faizol kerana beliau banyak terlibat didalam gerak kerja di peringkat GAMIS Perak. Beliau dilihat sebagai seorang yang komited dalam bergerak kerja, banyak memberikan cadangan serta pandangan yang bernas. Sesungguhnya kehilangan permata yang bersinar ini benar-benar dirasai.

Oleh itu, sama-samalah kita mendoakan semoga roh mereka ditempatkan dikalangan orang-orang yang soleh dan semoga segala gerak kerja Islam yang dilakukan oleh mereka diterima Allah swt. Al-Fatihah.

Terfikir juga semasa dalam perjalanan pulang dari Hospital Teluk Intan, bilakah pula giliran saya untuk menghadap Sang Pencipta. Ya Allah, tetapkan hatiku diatas jalan agama-Mu.

P/s: GAMIS PERAK melancarkan sumbangan derma kilat buat keluarga dua orang sahabat ini. Boleh hubungi Mohd Firdaus Ahmad (019-5206157) untuk penyerahan terus atau bank in ke akaun CIMB Islamic (0207 0000490 202) atas nama Mohd Firdaus Ahmad.

Syakur Ibrahim