Di kalangan para mukminin itu ada golongan pemuda yang benar-benar menepati janji mereka kepada Allah, ada di kalangan mereka yang telah menunaikan janji kepadaNya (dengan syahid) dan ada lagi yang masih ternanti-nanti, mereka ini tidak sesekali menukar-nukar janji mereka (al-Ahzab 23)
Segala kepujian kepada Allah SWT. Dihari raya aidil fitri ini kita kembali kepada fitrah asal-usul kita dicipta untuk menjadi khalifah di muka bumi ini.
Bagi memenuhi amanah yang dipertanggungjawabkan ini Allah SWT mewajibkan kita bersiyam(puasa) bagi memperolehi KPI sebagaimana yang telah dicapai oleh umat terdahulu (Rasul, Nabi, Aulia', Mujahidin dll) . Kesemua umat terdahulu berpuasa dan kesemua mereka menatijahkan perubahan rohani jasmani, sosio-budaya politik, perubahan minda serta peradaban. Kesimpulanya perubahan dari perhambaan kepada manusia kepada pengabbdian sepenuhnya kepada kehendak Allah SWT.
Terdahulu dari bulan Ramadzan, kita melalui Rejab yang dianugerahkan fardhu solat. Sembahyang sebagai tiang agama Islam mesti di laksanakan mengikut kaedah yang didirikan oleh nabi Mohammad SAW. Namun kepelikan berlaku dikalangan kita kaum muslimin masyarakat Malaysia, yang mana rukun puasa ini disambut, pelihara dan dilaksanakan bersungguh-sungguh sehinggalah menyambut raya aidil fitri. Segala amalan ramadzan seperti solat sunat tarawah dibuat bersungguh-sungguh. Ini bagus! Jika semangat dan sikap begini diaplikasi dalam melaksanakan tuntutan sembahyang , alangkah baiknya! Namun kaum kita sanggup mengabaikan sembahyang dalam memenuhi tuntutan puasa.
Sepatutnya dengan satu ayat sahaja (al-Baqarah: 183) perintah kita berpuasa, kita puasa sungguh-sungguh, tetapi dengan puluhan ayat yang memerintah kita solat dipandang sepi dan tidak ambil berat. Sikap begini berlaku oleh kerana sepanjang kita merdeka 52 tahun, puasa dijadikan ibadat khusus, sahor, buka, tarawih, tadarus dan raya dan tak lebih dari itu.
Walhal apabila Allah merujuk kepada (sebagaimana difardhukan orang-orang terdahulu dari kamu), bermakna mereka yang berpuasa terdahulu dari kita juga telah berubah. Bahkan kesemua insiden besar yang Allah muatkan didalam bulan Ramadzan (lailatul qadar, tambat syaitan, buka seluasnya pintu syurga, tutup serapatnya pintu neraka, tarawih, nuzul al-Quran, Badar al-kubra, fathul Mekah dll) semua mengajak kita berubah dan bertukar supaya lebih rapat dengan Islam. Bahkan isi kandungan takbir raya itu sendiri (yang turun dan diungkap oleh nabi Mohammad pertama kalinya dalam peperangan Badar setelah melihat mayat Abu jahal) mengajak kita buat perubahan besar-besaran. Malangnya takbir raya itu telah disensasikan, didayukan serta disyahdukan dikalangan masyarakat melayu sehingga hilang ruh dan semangat takbir itu sendiri. Semangat jihad pengorbanan, kembali kepada menegak kalimah Allah dan pensucian aqeedah telah tenggelam dek kerana alunan dayu sensasi takbir raya.
Sebagai ibadat tertua, puasa juga menuntut kita memperolehi ketaqwaan sebagai teket untuk bertemu dengan Allah diakhirat kelak. Tanpa taqwa ini, sesaorang itu tidak boleh mendapat pertimbangan Allah untuk ke syurga.
Sempena 1 syawwaal ini saya mengajak warga Perak untuk melakukan perubahan besaran dalam pilihanraya negeri yang akan terpaksa dilakukan dalam masa terdekat ini. Kemelut politik dan krisis perlembagaan yang berlaku akibat rampasan kuasa pada 5 Februari 2009 telah menyebabkan Perak dilanda malang dan krisis. Tolaklah mereka yang terbukti mengenepikan perintah keadilan dan amanah, zolim terhadap hak rakyat, menyalahgunakan agensi kerajaan SPR, SPRM, PDRM, Kehakiman dll. Tolak mana-mana yang berjuang diatas prinsip perkauman dan assobiyah kerana dia (perjuangan berteraskan perkauman) tiada tempat dalam Islam. Nabi Mohammad menyatakan dengan jelas bahawa bukan dari kalanganya mereka yang hidup-matinya, perjuanganya kerana bangsanya atau kaumnya.
Mari tolak perkauman dan terima nilai-nilai Islam dalam melaksanakan tugasan kita sebagai Khalifah dimuka bumi ini. Selamat hari raya maaf zohir batin. Saya mewakili keluarga dan seluruh warga Pakatan Rakyat menyusun jari sepuluh memohon keampunan atas segala kesalahan dan kelemahan tempoh hari. Bertemu di Bagan Pinang!
Hidup, hidup , hidup Rakyat.! Allahu Akbar, Allahu Akbar walillah hil hamd.
Dato' Seri Ir.Mohammad Nizar Jamaluddin. (Menteri Besar Pekatan Rakyat Perak, Ahli Parlimen Bukit Gantang, ADUN Pasir Panjang)
Tahun kedua hijrah, Rasulullah s.a.w bersama 313 sahabatnya bergerak menuju Badar untuk menyekat kafilah Quraisy yang membawa harta berlimpah hasil dari perniagaan di Syam. Hal ini kerana sudah menjadi dasar bagi baginda Rasulullah s.a.w untuk menyekat kafilah dagang Quraisy yang melintas kawasan berdekatan Madinah dalam perjalanan perniagaan menuju Syam atau dari Syam menuju Mekah.
Satu ketika dulu, sewaktu golongan Muhajirin berhijrah ke Madinah, harta benda yang ditinggalkan oleh mereka dirampas oleh kaum Quraisy. Bukan harta sahaja yang dirampas, bahkan gangguan yang maha hebat baik melalui fizikal dan mental dikenakan keatas orang-orang Islam yang tidak dapat berhijrah ke Madinah.
Dalam perjalanan melalui Badar, Abu Sufyan diberitakan tentang kemaraan orang-orang Islam. Lalu Abu Sufyan mengirimkan seorang utusan untuk meminta bantuan ketenteraan dari pihak Quraisy. Akhirnya, Abu Jahal menyahut seruan itu dengan memipin seribu tentera lengkap bersenjata yang sedia untuk menghancurkan tentera Islam. Bagi Kaum Quraisy, kehilangan harta tidak mengapa, tetapi kehilangan maruah merupakan sesuatu yang mengaibkan memandangkan mereka adalah merupakan suku kaum mulia di Mekah.
Dalam cubaan sekatan yang dilakukan oleh kaum Muslimin, kafilah perniagaan Abu Sufyan berjaya meloloskan diri dari kepungan. Abu Sufyan mengirimkan wakil meminta tentera pimpinan Abu Jahal berundur, namun Abu Jahal tetap meneruskan rancang untuk bertempur dengan kaum Muslimin.
Di pihak Muslimin, pada asalnya, rancangan untuk menyekat kafilah perniagaan dari Mekah bertukar kepada rancangan menghadapi peperangan. Dengan kelengkapan senjata yang ala kadar berbanding gerombolan tentera Quraisy yang lengkap bersenjata, ditambah dengan jumlah yang sedikit, sama sekali tidak menggugat semangat kaum Muslimin bertempur. Kerana keyakinan dan keimanan yang dimiliki menjadi sandaran dan pendorong mereka untuk tegar dan siap menanti kematian di jalan Allah yang balasannya adalah syurga.
Dalam jumlah yang sedikit, menghadapi tentera kaum yang zalim, semua itu bukanlah alasan untuk tidak berjuang. Rasulullah mengatur strategi perang yang antaranya ialah, mengambil air dari perigi-perigi dan menimbus perigi-perigi itu, kemudiannya mencari perigi yang berdekatan dengan lokasi tentera Quraisy. Rasulullah S.A.W juga telah mengeluarkan arahan kepada tentera Muslim untuk menyerang dengan senjata jarak jauh, dan hanya berhadapan dengan tentera Quraisy dengan senjata tangan apabila mereka mara.
Doa Nabi S.A.W,
“ Ya Allah! Wahai Tuhanku, tunaikanlah apa yang telah Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah! Wahai Tuhanku, kurniakanlah apa yang dijanjikan kepadaku. Ya Allah! Wahai Tuhanku, jika Engkau binasakan pasukan kecil ini maka Engkau tidak akan disembah lagi di bumi selepas ini “
Abu Jahal juga berdoa,
" Ya Allah, engkau hapuskanlah Muhammad ini, pemecahbelah masyarakat, perosak perpaduan dan pemutus hubungan kekeluargaan"
Akhirnya, doa Nabi dimakbulkan Allah,ribuan malaikat turun dari langit ke Badar untuk mengalahkan Quraisy. Sebaliknya doa bersifat nasionalis daripada Abu Jahal ditolak Allah Taala. Menang tentera Islam dalam peperangan Badar Al-Kubro.
Firman Allah, "Dan (ingatlah) ketika Kami memperlihatkan mereka kepada kamu (wahai umat Islam) semasa kamu bertemu dengan mereka: Sedikit bilangannya pada pandangan mata kamu, dan kamu pula diperlihatkanNya: Sedikit bilangannya pada pandangan mata mereka; kerana Allah hendak melakukan sesuatu perkara (kemenangan Islam) yang telah ditetapkan berlakunya dan (ingatlah) kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan." ( Al-Anaaal :44 )
Inilah peperangan yang digelar The Mother of The Battle, kerana dengannya, tamadun Islam di Bumi gersang di tanah Arab tersebar keseluruh alam. Islam semakin bersinar, gemilang dan akhirnya dapat juga kita mengecap nikmat iman ini di bumi Nusantara ini.
Sesungguhnya, pada zaman ini kita sedang berada pada medan Badar Moden. Sungguhpun kita ramai dari segi bilangan, tetapi kita menghadapi kekangan, halangan dan tentangan dari puak-puak zalim yang menolak Islam. Pejuang-pejuang Islam dibunuh, dicederakan dan juga ditahan tanpa bicara. Tidak kurang juga difitnah dan dimalukan dengan pelbagai tohmahan dan pelakuan buruk melalui pelbagai jentera.
Oleh itu,sebagai pejuang Islam, disamping menyambut Nuzul Quran, pada tarikh yang sama- 17 Ramadhan - Badar Al-Kubro juga perlu terpahat dalam memori kita. Hayatilah semangat Badar Al-Kubro ini supaya tersemat dalam jiwa kukuh selamanya. Disamping itu, suburkanlah peristiwa Badar Al-Kubro ini kepada generasi-generasi muda. Kita tiupkan kisah agung ini menjadi pembakar semangat. Kita wariskan dalam diri, menjadi satu inspirasi dan juga motivasi untuk memperjuangkan agama Allah hatta ditekan musuh dari segenap sisi.
"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah, kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak. " (At- Taubah : 38)