
Sempena bulan Rejab ketika peristiwa besar iaitu peristiwa Israk dan Mikraj tercetus , yang mana ianya mengandungi berbagai hikmah dan pengajaran untuk kita. Telah dirakamkan oleh Allah s.w.t di dalam surah Al-Isra' ayat pertama berkenaan peristiwa besar ini. Berlakunya insiden Israk Mikraj ini memberikan umat Islam satu tugas wajib yang mesti dilaksanakan sehari-hari iaitu tuntutan untuk menunaikan solat.
Bermula dengan ditaklifkan sebanyak 50 waktu, kemudiannya dikurangkan sehingga 5 waktu sahaja. Sesungguhnya, amat banyak iktibar dapat kita ambil berkenaan kisah perjalanan yang menakjubkan ini.
Pada permulaan perintah solat ini, Nabi Muhammad S.A.W menerima secara terus arahan daripada Allah dengan jumlah 50 waktu. Kemudian baginda dinasihatkan oleh seorang hamba Allah yang mengatakan jumlah itu terlalu banyak untuk dilaksanakan, akhirnya baginda menerima nasihat ini dan baginda berulang alik berjumpa Allah untuk meminta pengurangan, tidak kurang 9 kali berulang alik, dan akhirnya jumlah waktu yang tinggal ini hanyalah 5 waktu sahaja untuk dilaksanakan.
Hamba Allah yang dimaksudkan ini ialah Nabi Musa A.S. Melalui insiden Israk Mikraj ini, telah memberikan kita satu signal bahawasanya perlunya diri kita ini dinasihati dan menasihati. Sebagaimana Nabi Muhammad dinasihati oleh Nabi Musa ketika syariat solat ini diwahyukan. Bertitik tolak daripada insiden inilah, perlunya kita mulakan hidup kita ini, bersempena dengan bulan Rejab, marilah kita sama-sama bersedia menerima teguran dan bersedia menegur.
Peristiwa Nabi berulang alik menghadap Allah S.W.T meminta pengurangan waktu solat merupakan sesuatu yang perlu umatnya hargai. 50 waktu pada asalnya disyariatkan kepada umat Islam akhirnya dikurangkan menjadi 5 waktu sehari semalam.
Oleh itu, perlunya kita hargai usaha nabi kita yang tercinta ini, dengan melaksanakan solat ini sesempurna mungkin, dari segi ketepatan waktunya, kebersihan tempatnya dan segala macam aspek yang menjurus kearah kesempurnaan solat kita. Dan jadikanlah Bulan Rejab ini sebagai bulan galakan kepada diri kita untuk bersolat. Alangkah lagi indah jika solat itu dilakukan secara berjemaah.
Syakur Ibrahim



.jpg)
.jpg)