Friday, May 30, 2008

Sindiket Jual Beli Bayi : Apakah salah si comel ini?


Sejak akhir-akhir ini, media lebih menumpukan kepada keluarnya Tun Dr. Mahathir dan kemasukan Sdr Ezam ke dalam UMNO. Dalam kes ini seorang rakan saya dari Kedah yang meminta pendapat saya tentang kemasukan Sdr Ezam kedalam UMNO. Jawapan saya hanya berdasarkan pembacaan di dalam blog-blog sahaja yang banyak sekali terdapat perkataan “mungkin” di dalam setiap hujah mereka. Jawapan yang sebenar hanyalah Sdr Ezam yang tahu.

Sahabat-sahabat sekalian,

Kita tinggalkan sebentar persoalan yang berkisar tentang politik negara kita, sekarang saya mahu mengajak dan mengetuk minda kita tentang satu fenomena yang seringkali terpapar di dada akhbar. Isu SINDIKET JUAL BELI BAYI.

Isu ini dahulunya jarang kita dengari, yang selalu kita dengar adalah mengenai kes buang bayi sahaja. Tetapi fenomena sekarang ini berubah daripada kes buang bayi kepada kes jual bayi. Inilah fenomena baru yang melanda masyarakat kita.

Kes yang terbaru berlaku di Johor Bahru pada 28 Mei apabila polis menemui seorang lagi bayi perempuan berusia setahun yang disyaki menjadi mangsa sindiket jual beli bayi di satu lokasi di sini.Perkembangan itu menjadikan jumlah bayi yang ditemui sejak kegiatan sindiket itu dibongkar pada minggu lalu ialah enam orang. Ini baru jumlah yang diperoleh melalui kegiatan yang berjaya dikesan oleh pihak polis pada minggu lalu. Bagaimana pula dengan kes yang tidak dapat dikesan? Sudah tentulah jumlahnya sangat banyak.

Banyak maklumat yang saya dapat apabila saya cuba mendalami isu ini. Kebanyakan kes yang berlaku adalah akibat bayi yang dilahirkan adalah bayi luar nikah. Dan langkah mudah untuk mengatasinya cukup mudah, hanya ada dua pilihan- buang atau jual. itu kes yang melibatkan bayi luar nikah. Ada juga kes yang melibatkan faktor kemiskinan yang mendorong berlakunya kes ini.

Sahabat-sahabat sekalian,

Agak menyedihkan, apabila mereka yang menjual bayi ini hanya memikirkan wang sahaja. Teorinya cukup mudah, selepas melahirkan anak, terus jual, dapat duit!. Kemana nilai kemanusiaan yang perlu ada dalam diri setiap insan.

Lebih menyedihkan kes ini melibatkan pengamal perubatan itu sendiri. Kes ini terbongkar apabila orang ramai membuat laporan polis berkenaan kegiatan di sebuah klinik swasta di Johor Bahru yang turut terlibat dalam kes ini. Hal ini mencemarkan institusi perubatan itu sendiri, hanya keranan inginkan kesenangan, aspek akhlak dan moral dibuang jauh-jauh.

Sabda Nabi Muhammad S.A.W, “ Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak” .

Sekarang ini, kita melihat umat Islam terutamanya muda-mudi hanya mementingkan berhibur berbanding memikirkan alam akhirat, muda-mudi lebih suka ketawa daripada banyak menangis mengenang dosa dan meningkatkan iman. Kita tidak cuba untuk mempraktikkan kesempurnaan akhlak yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W kepada segenapan lapisan manusia. Kesannya wujudlah masalah pergaulan bebas yang berleluasa. Apabila masalah ikhtilat (pergaulan) ini sudah tiada adab, maka pelbagai bentuk perkara maksiat akan berlaku.

Melihat kepada akhlak rakyat sudah berada di tahap ini, bagaimana pula dengan pemimpin?. Bukankah rakyat mengikut rentak pemimpin? Baik pemimpin itu, maka baiklah rakyatnya. Jahat pemimpin itu, maka jahatlah rakyatnya.

Pemimpin perlulah sedar bagaimana kes ini boleh terjadi, kebanyakannya bermula dengan ZINA. Sehinggakan terlahirnya anak luar nikah, dan akibat sayangkan anak lalu si ibu tidak mahu membuang bayinya kerana tidak yakin sama ada bayi itu akan hidup atau mati. Jika diserahkan kepada orang, tentulah orang tersebut akan berprasangka negative dan tentulah si ibu akan menanggung malu. Dan keputusan yang si ibu buat adalah dengan menjual bayinya-setelah memikirkan cara yang disebutkan sebelum ini akan membawa kesan buruk.

Oleh itu, apakah langkah yang sesuai untuk mengatasi kes ini? Adakah dengan melakukan tangkapan dan serbuan sahaja?. Secara jelasnya, Hukum Allah bersifat mencegah. Perlunya hukum ini dilaksanakan kerana dapat mencegah zina daripada berlaku. Secara analoginya, zina ini boleh dikatakan sebagai akar sebatang pokok, jika kita mematikan pokok itu, perlulah kita musnahkan akarnya. Cegah zina ini dengan hukum Allah boleh diandaikan seumpama memusnahkan sebatang pokok keseluruhannya dan apabila pokok sudah mati, tiadalah buah yang diperoleh. Buah yang dimaksudkan ialah anak luar nikah. Ini sekaligus mengelakkan kes buang bayi dan jual anak. Inilah satu penyelesaian yang terbaik yang telah Pencipta gariskan kepada makhluk yang dicipta-Nya. Kenapa masih degil dan ingkar serta mengatakan ianya tidak relevan? Saya tinggalkan persoalan ini kepada sahabat-sahabat sekalian.

Marilah beristighfar kepada Allah semoga mendapat keampunan-Nya

Syakur Ibrahim

Wudhuk



"Seperti biasa seorang Ustaz mengajar pelajar Sekolah Agama. Ustaz tersebut mengajar budak tahun satu.Pada hari tersebut,beliau mengajar bab "cara berwudhuk'....

Selepas mengajar,beliau selalu meminta muridnya bertanyakan soalan jika terdapat kemusykilan.

Ustaz : Ada sesiapa hendak bertanyakan soalan?

Murid : Ada Ustaz.saya ada satu kemusykilan.Boleh tak kita ambil wudhuk dua kali?

Ustaz : Boleh, tapi kenapa sampai dua kali ambil wudhuk?

Murid : Saya ambil dua kali sebab kalau saya terkentut,wudhuk lagi satu tu boleh buat spare part!

Ustaz : Allahhuakbarr!!!

Monday, May 26, 2008

Selangor Haramkan Islam Hadhari : Satu Tindakan Yang Wajar

Pemimpin Islam Hadhari, YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi


Saya amat tertarik dengan satu siaran berita di Buletin Utama 26 Mei yang menyiarkan berita tentang Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor telah mengharamkan sebarang program yang berkonsepkan Islam Hadhari di negeri Selangor. Arahan ini adalah daripada Exco Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Dr. Hassan Mohamed Ali yang secara tegasnya mengatakan konsep ini tidak diperlukan di Selangor.

Bagi saya tindakan ini adalah wajar kerana Islam sudah lengkap dan tidak perlu ditambah dengan "Hadhari" dihujungnya. umum melihat Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hanyalah tidak lebih sebagai gimik politik sahaja kerana 10 prinsip yang terdapat di dalam Islam Hadhari ini tidak diamalkan sepenuhnya. Lihat sahaja prinsip yang pertama iaitu beriman kepada Allah dan Rasul, kita lihat PM sendiri tidak mempraktikkan prinsip yang pertama ini. Gambar diatas rasanya sudah menceritakan segala-galanya kepada kita bagaimana gagalnya konsep ini dalam aspek mempraktikkannya.

Dalam surah Al-Maidah ayat 3,
"...Pada hari ini telah Kusempurnakankepada kamu agamamu, dan telah Kucukupkan kepada mu nikmatKu, dan telah Kuredhai Islam itu jadi agama bagimu..."

Dalam ayat ini telah nyatakan bahawa Allah telah meredhai Islam itu sebagai agama bagi kita. Tidak perlulah mengada-adakan lagi Islam yang berbagai-bagai. Dilabelkan seseorang itu dengan Islam Liberal,Islam Ekstrimis,Islam Kuno,Islam Sunnah,Islam Syiah dan sebagainya, sebenarnya Islam itu satu sahaja dan mengada-adakan pelbagai nama tambahan untuk Islam ini merupakan agenda barat untuk melemah serta memecahbelahkan umat Islam di segenap penjuru di dunia ini.

Oleh itu,wajarlah Islam Hadhari ini dihapuskan terus dari kamus hidup kita kerana ia hanyalah sebahagian dari juzuk-juzuk Islam. Sedangkan Islam merangkumi segala-galanya dalam segenap aspek kehidupan.Wajiblah kita memahat dalam kamus hidup kita ini bahawa dulu, kini dan selamanya Islam merupakan agama di sisi Allah. Ingatlah, bukan setakat memahat dalam kamus hidup kita sahaja, tetapi perlu kita perjuangkan Islam ini supaya kembali diletakkan sebagai perlembagaan utama dalam kehidupan setiap insan. Insya Allah.

Akhir kata saya memohon istighfar kepada Allah. Semoga Allah memberi keampunan dan keredhaan kepada hambaNya..


Syakur Ibrahim

Tahukah Anda


1. Tahukah Anda apabila 350ml air yang diambil dari sinki dan kemudiannya dituangkan ke dalam cerek yang mengandungi 150ml air suling dan dibiarkan terdedah kepada nyalaan api bersuhu 100 darjah celcius akan menghasilkan satu cecair yang dinamakan air masak.

2. Tahukah Anda yang air sirap merupakan salah satu bahan asas dalam pembinaan sebuah helikopter. Ini kerana kajian telah dibuat, seorang pembina helikopter memerlukan air sirap untuk menghilangkan keletihan semasa membuat helikopter, tanpa air sirap mungkin helikopter tersebut tidak dapat disiapkan.

3. Tahukah Anda Sebuah kereta yang dipandu selaju 220 km/j tidak akan dapat memotong kereta yang dipandu selaju 40 km/j sekiranya kereta-kereta tersebut dipandu dari arah yang bertentangan

4. Tahukah Anda dalam bahasa Inggeris dan Italy, jurugambar dikenali sebagai paparazi. Perkataan itu dipercayai diambil dari watak paparazzo dalam filem La Dolce Vita yang diterbitkan oleh Federico Fellini pada tahun 1960. Dalam bahasa melayu pula, ayah kepada seorang budak yang bernama Razzi juga boleh dikenali dengan nama papa Razzi.

5. Tahukah Anda magnet ialah sejenis logam yang juga digelar besi berani. Sebagaimana namanya magnet ialah besi yang berani menarik butir-butir besi lain kearahnya. Bagaimanapun orang yang diupah untuk menarik kereta bukanlah magnet.

6. Tahukah Anda orang yang tidak pernah kisah langsung tentang wang ringgit, pangkat, kedudukan dan harta dunia ialah Orang Utan.

7. Tahukah Anda ahli sains seluruh dunia bersepakat jika nasi ayam dimakan sewaktu lapar, perut kita akan mengalami satu tindakbalas yang berupa kekenyangan. Nasi ayam juga boleh digunakan sebagai ubat untuk menggembirakan hati kita bila nasi ayam yang dimakan itu dibelanja oleh kawan kita.

8. Tahukah Anda antara kereta kebal dan tok guru ilmu kebal, akhlak kereta kebal adalah lebih baik kerana kereta kebal walaupun ia kebal tapi tak pernah membanggakan diri dan riak akan kekebalannya.

9.Tahukah Anda... tahukah anda... tahukah anda.......... walaupun hidup beribu-ribu tahun, anak cucu bertimbun-timbun, kalau tak sembahyang tak ada gunanya.


Thursday, May 22, 2008

15 Mei - Hari Nakbah : Satu Perjuangan Menuntut Hak


Genaplah sudah 60 tahun Zionis Yahudi menakluki tanah Palestin. Pada 15 Mei 1948 bermulanya kisah ini. Inilah dinamakan Hari Nakbah iaitu Hari Bencana yang berlaku di Palestin. Di bumi Malaysia ini, istilah ini jarang kita dengari, saya sendiri mengetahuinya ketika di Matrikulasi ketika bersama Pusat Islam menganjurkan Hari Palestin Sedunia.

Sahabat-sahabat sekalian,

Hari ini kita diingatkan dengan kesakitan, keperitan serta tangisan daripada mangsa-mangsa keganasan dan pembersihan etnik yang diarahkan dan dikepalai oleh negara Zionist. Secara faktanya, 3.5 juta rakyat Palestin dipaksa meninggalkan tanah airnya melalui pelbagai cara, antaranya pencerobohan keatas tanah-tanah dan bangunan-bangunan, rumah-rumah dan kampung-kampung dimusnahkan dan pembunuhan rakyat Palestin dan sebagainya.

15 Mei- Hari Nakbah (Hari Bencana) bukan hanya sekadar hari memori buat kita, tetapi juga sebahagian daripada penentangan keatas rampasan tanah, usaha mempertahankan maruah, kebuluran, pengeboman rumah-rumah rakyat dan pembunuhan aktivis-aktivis politik di Palestin.

Keberanian rakyat Palestin berjuang menuntut kebebasan tanah airnya yang bermula pada September 2000 berakhir dengan Perjanjian Oslo yang bertujuan untuk memaksa rakyat Palestin beralah daripada mempertahankan hak meraka di tanah air sendiri. Akibat dipaksa beralah dalam perjanjian ini, maka hanya satu sahaja yang berlaku - rakyat Palestin dihalau!. Oleh itu, sesiapa yang bertindak mewakili rakyat Palestin dalam usaha membebaskan tanah air mereka,tetapi masih menggunakan Perjanjian Oslo sebagai asas dalam usaha membebaskan Palestin, orang ini merupakan tali barut dan hamba kepada penjajah Zionist.

Kerajaan Sharon melakukan jenayah perang dengan menggunakan kereta kebal, helikopter, mengebom kereta dan melancarkan roket kepada pejuang-pejuang kemerdekaan Palestin.
Kerajaan rejim ini berkata "hentikan usaha-usaha kamu, selepas itu barulah kami akan memperbaharui rundingan". Dan pejuang-pejuang ini membalas, "pengalaman mengajar kami bahawa hanya perjuangan ini sahaja yang mampu menentang penipuan kamu. Tentera Israel mesti dihalau dari wilayah kami! Supaya tanah kami yang dicuri dikembalikan!
Supaya kebenaran dikembalikan kepada rakyat Palestin yang dihalau dengan kejamnya!"

Alangkah kasihannya rakyat Palestin, jiran-jirannya merupakan negara-negara Arab yang sebangsa dengan mereka.Tetapi apabila Palestin dijajah dan rakyatnya dihalau, mereka seolah-olah mebutakan mata dan memekakkan telinga. Tiada langsung bantuan dari negara-negara Arab ini. Rakyat yang menuntut hak dilabelkan sebagai pengganas, sedangkan Israel dengan bantuan Amerika yang mula-mula menceroboh tanah Palestin diberikan sanjungan.

Masih ingatkah kita tentang peristiwa pembunuhan As-Syahid Syeikh Ahmad Yasin pada 22 Mac 2004. Beliau merupakan pengasas Hamas yang keadaannya lumpuh dengan buta sebelah matanya. Beliau di digelar sebagai "Amir Shuhada'" kerana telah merekrut pejuang-pejuang yang meletupkan diri dengan bom sebagai jihad menentang Israel. Apabila beliau memberikan ucapan dan syarahannya kepada umum, maka keesokkan harinya pasti akan berlaku jihad. Begitulah usaha yang mampu beliau lakukan. Dan akibat daripada membangkitkan semangat jihad di kalangan rakyat palestin, beliau dibunuh selepas solat subuh di hadapan Masjid Akademi Islam dengan menggunakan helikopter Apache dengan tiga butir peluru berpandu yang telah menghancurkan badan dan kerusi rodanya manakala bahagian mukanya tidak hancur dan kelihatan seolah-olah tersenyum.

Selepas kematian beliau, Dr. Abdul Aziz Ar-Rantisi menggantikan beliau sebagai ketua Hamas dan seperti yang berlaku keatas Syeikh Ahmad Yasin, sebulan kemudian beliau juga dibom ketika menaiki sebuah kereta. Begitulah serba sedikit rentetan peristiwa yang berlaku di bumi Palestin untuk iktibar kita bersama.

Sahabat-sahabat sekalian,

Dalam hadis yang ke-13 daripada hadis 40
Daripada Abu Hamzah Anas ibn Malik r.a., khadam Rasulullah SAW, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:
"Seseorang kamu tidak benar-benar beriman sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri".
Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim.

Isu Palestin ini adalah isu yang tidak akan selesai sehingga kita berjaya membebaskannya kembali daripada cengkaman Yahudi Laknatullah 'Alaihim. Perlunya ada sensitiviti dalam diri kita mengenai isu Palestin ini, ia bukanlah isu bangsa, bukan juga isu negara, tetapi ia adalah isu saudara seagama kita. Hadis di atas memberi maksud kepada kita bahawa kedudukan kasih sayang dan persaudaraan dalam lslam amat tinggi dan penting. la adalah kekuatan kedua bagi umat lslam yang dapat mengatasi kekuatan senjata. Dalam peribahasa selalu menyebutkan tentang hal ini iaitu cubit paha kanan, paha kiri terasa sakitnya. Berapa ramaikah antara kita yang ada sensitiviti dalam hal ini?. Saya tinggalkan persoalan ini kepada anda untuk anda nilaikan sendiri.

Suka sekali saya menyeru kepada sahabat-sahabat supaya di dalam doa kita, selitkanlah bersama doa memohon kepada Allah supaya membantu Umat Islam serta para mujahid-mujahid di Palestin dalam berjuang menegakkan agama Allah. Marilah kita sama-sama berusaha memupuk kesedaran kepada saudara-saudara kita. Kejutkan mereka dari tidur dan berilah peringatan kepada mereka.

Saya akhiri artikel ini dengan istighfar kepada Allah semoga kita mendapat Redha-Nya.Insya Allah.

Syakur Ibrahim

Wednesday, May 21, 2008

Orang Arab kecek Klate

Assalamualaikum w.b.t

Saya ingin kongsikan sesuatu yang menarik. Rasanya bila dah baca tajuk dia mesti kita tertanya-tanya. Saya dapat video ini dari blog Ust Fariiqul Amin.

Saksikanlah..




Hm.. Cuba kita teliti apa yang dikatakan oleh sahabat kita ni.. kalau kita nak blajar sesuatu bahasa, kita perlu ke tempat tu dan praktik.. Kata kunci yang penting kat situ ialah praktik... Sesuatu ilmu itu perlu dipraktikkan. Ilmu yang tak dipraktikkan akan berlumut didalam otak dan akhirnya hilang. Sama-samalah kta ambil iktibar dari klip ini.. Sangat bermakna untuk kita semua...

Sumber: Fariiqul Amin

Tuesday, May 20, 2008

Merenung Sebuah Kehidupan 2


Assalamualaikum w.b.t


Catatan 1


Sudah hampir dua minggu rasanya tidak menyentuh komputer kerana sepanjang tempoh ini masa dihabiskan di hutan dan juga pelbagai program yang melibatkan penyertaan saya dalam menjayakannya. Semestinya semua ini melatih saya kearah mematangkan diri serta membentuk peribadi supaya dapat menjadi dakwah bil hal kepada mad'u. Sememangnya dakwah bil hal adalah sesuatu yang perlu kerana jika hanya berteori sahaja tetapi tidak mengamalkan teori itu maka dapatlah diumpamakan seperti pohon yang tidak berbuah.. atau dalam kata muda mudi sekarang- "hampehh..".

Sekarang tibalah masa saya untuk berblog kembali. Semoga mendapat redha dari Allah dan Allha memberkati usaha ini. Tiba masa untuk THINK<> WRITE<>PUBLISH.

Catatan 2


Saya mendapat satu sms daripada sahabat sepengajian saya di SMKAK, Akh Azmul Mukmin,
"Tidaklah kehidupan dunia itu melainkan mainan dan berseronok-seronok, dan hari akhirat adalah lebih baik bg orang-orang yang bertaqwa, apakah kamu memikirkannya?" al-an'am 32

Masya Allah.. Baru sahaja saya selesai membaca sebuah buku Tuan Guru Nik Aziz yang memperincikan tentang taqwa. Dapat pula sms tentang takwa dari seorang sahabat seperjuangan. Rasanya inilah kebetulan yang diaturkan Allah supaya mengingatkan hamba-Nya supaya sentiasa mengingati-Nya dan mengikut segala perintah dan larangan-Nya. Dalam erti kata lain ialah taqwa.

Kemudian dapat lagi sms dari Akh Huzaimi, juga sahabat dari SMKAK

"Yusuf Islam pernah berkata " budaya dan nilai hiudp barat adalah seperti sebuah kapal yang sedang tenggelam, dan umat Islam sedang berebut-rebut membeli tiket untuk menaikinya."

Rasanya betullah kata-kata Yusuf Islam tu kan?. Masalahnya sekarang ini kita tidak nampak bahawa budaya barat itu umpama sebuah kapal yang hendak karam. Apa yang kita nampak adalah budaya baratlah yang mampu membawa kebahagiaan.

Menyentuh soal kebahagiaan, pernah saya menasihati seorang muslimat tentang erti bahagia ini. Secara ringkasnya, saya mengatakan kepadanya tempat yang layak untuk berbahagia hanyalah di syurga. Dunia hanyalah tempat untuk berusaha dan bersusah payah menambah amal ibadat.

Dalam surah al-hasyr ayat 18..

" Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah & hendaklah setiap diri memperhatikan (mnerenung) apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok ( akhirat), dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan"

Kemudian teringat saya kata-kata naqib saya dalam usrah, "Hanya perempuan yang mendapat tarbiyyah Islam sahaja yang mudah menerima teguran dan dibentuk". Mudah-mudahan muslimat tersebut faham tentang maksud saya itu. Dan memahami erti bahagia yang sebenar. Insyaallah..

Catatan 3


Pada malam jumaat lepas, lebih kurang pukul 11 malam, saya mendapat panggilan dari Akh Hadyan, naqib saya "Assalamualaikum, ana nak ajak enta ke Kelantan malam ni". Tanpa berfikir panjang saya pun bersetuju. "Ajak Ibrahim sekali" kata Akh Hadyan.

Tujuan ke Kelantan adalah untuk mengikuti kuliah mingguan Tok Guru Nik Aziz di Kota Bharu berhadapan Pejabat Perhubungan Pas Kelantan di Jalan Dato' Pati. Perjalanan pada malam hari menaiki Kelisa Akh Hadyan melalui Gerik memang menggerunkan kerana pada malam harilah banyak lori-lori balak bergerak. Kira-kira pukul 3 pagi sampailah di kawasan rehat Puncak Titiwangsa. Kami lelap disana sekejap. Pukul 5 pagi kami meneruskan kembali perjalanan dan sembahyang subuh di sebuah masjid di Tanah Merah. Selepas itu kami mandi dan bersiap disitu dan menuju ke Kota Bharu melalui Rantau Panjang.

Sesampai di Kota Bharu saya begitu terpegun kerana kali terakhir ke sana ketika di bangku sekolah rendah. Kota Bharu memang mempunyai suasana bandaraya Islam. Tulisan jawi ada di setiap Kedai dan bangunan. Budaya serban daripada kanak-kanak sehinggalah kepada orang-orang tua hidup subur. Sempat juga saya "kecek klate" dengan orang-orang Kelantan, walaupun agak kekok tapi menurut Ibrahim yang pernah berada di kelantan selama 7 tahun, katanya pertuturan saya dah dikira ok dalam loghat Kelantan.

Seterusnya kami pekena nasi kerabu pagi itu, dan kemudian mendengar kuliah sesi pertama pukul 8.30pagi-9.30pagi daripada seorang ustaz yang saya tidak kenali. Untuk sesi kedua 9.30-10.30pagi barulah kuliah wajib dari Tok Guru iaitu kuliah tafsir. Ketika inilah seluruh aktiviti perniagaan di sekitar kawasan kuliah seolah-olah terhenti kerana ingin mendengar dan melihat Tok Guru dari dekat. Begitulah sanjungan masyarakat terhadap seorang 'ulama yang mendidik rakyatnya supaya mencintai ilmu.

Selepas selesai kuliah, saya cuba untuk bersalam dengan Tok Guru tetapi tidak beroleh peluang. Selepas itu kami terus bertolak ke Pasir Puteh dan sembahyang jumaat disana. Dalam pada itu kami melakukan ziarah ke sebuah kawasan yang dahulunya kawasan pondok. Petang jumaat itu, kami terus ke Besut untuk bermalam di rumah Akhi Hadyan. Kemudian pagi Sabtu kami bertolak ke Ipoh kembali setelah selesai menziarahi seorang sahabat Akhi Hadyan di Besut.

Perjalanan pada hari Jumaat itu saya dan Ibrahim menamakannya sebagai "Perjalanan Ilmu" kerana kemana sahaja kami pergi kami beroleh ilmu dan nasihat.

Semoga kami dapat melakukan lagi perjalanan ini suatu hari nanti jika ada kelapangan masa dengan kenderaan kami sendiri. InsyaAllah.

Catatan 4


Ketika dalam usrah semalam saya diminta oleh Akh Husni untuk ke KL pada minggu depan untuk satu program. Tetapi saya sudah merancang untuk balik ke Kedah pada petang ini 20 Mei. Nampaknya hanya sekejap sahajalah cuti saya di kampung. Dapat tatap wajah-wajah insan tersayang dan mengeratkan ukhuwah bersama rakan-rakan di Kedah sudah cukup bagi cuti kali ini.

Apa pun, ketika zaman belajar inilah masa untuk kita berprogram dan melakukan pelbagai aktiviti kerana ketika memasuki alam pekerjaan nanti sudah tiada masa seperti ini. Jadi saya tidak boleh biarkan masa saya ini terbuang begitu sahaja. Perlu dimanfaatkan dengan menambah ilmu-ilmu yang menguatkan aqidah dan menambah iman kepada Allah. Insya Allah..

Catatan 5


Ketika musim cuti sekolah ini, seperti biasa, jemputan walimah(kenduri kahwin) sentiasa kita terima. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Akh Hafiz dan Ukh Nani atas perkahwinan yang akan berlangsung pada 1 Jun ini di JB dan 7 Jun di Slim River .

Tapi ana mintak maaf kerana tidak dapat hadir ke walimah itu pada 1Jun ini kerana ana akan ke walimah Akh Asyraf senior ana di Smkak yang akan berlangsung di Alor Setar Kedah. InsyaAllah 7 jun ana akan ke walimah di Slim River. Apapun Selamat Pengantin Baru ana ucapkan kepada kalian berdua.

Setakat ini coretan Merenung Sebuah Kehidupan, Akhir kata saya memohon istighfar kepada Allah. Semoga Allah memberi keampunan kepada hambanya..

Syakur Ibrahim

Thursday, May 8, 2008

Alhamdulillah.. Lulus juga akhirnya


Assalamualaikum w.b.t.

Saya terima satu sms dari Abang Badrul teman serumah saya pukul 10.27 pagi. "Hang lulus..Distinction..Jom kita pi camping.. Yeay!"

Begitu juga pada pukul 10.28 pagi sms dari seorang lagi teman serumah saya, Ibrahim, "Hang pass exam, aku dah tanya orang pejabat tadi".


Apa yang mampu saya lafazkan ialah alhamdulillah syukur. Dalam hati ini semakin bertambah-tambah pujian kepada Allah s.w.t dia atas nikmat kejayaan yang dikurniakan kepada saya.Setelah mengharungi pahit maung serta kepayahan dalam menempuh sessi pengajian untuk Tahun Pertama Perubatan di Kolej Perubatan Diraja Perak. Lulus juga saya akhirnya. Ini bermakna saya tidak perlu untuk ambil supplementary class ataupun kelas untuk peperiksaan semula sekali lagi pada bulan hadapan. Dan ini juga bermakna saya dapat ke Tahun Kedua Perubatan bermula bulan Julai ini. Cuti dua bulan la lepas ni. :p


Bagi kami pelajar perubatan, istilah lulus sudah memadai kerana tidak ada pun gred yang diberi. Hanya lulus dan gagal sahaja yang ada dalam result peperiksaan. Istilah lulus adalah satu istilah yang sangat keramat bagi saya kerana sepanjang pengajian Tahun Pertama, saya hanya lulus tiga modul daripada lima modul keseluruhannya.Takut juga jika saya tidak lulus dalam peperiksaan yang paling penting ini.


Untuk pengetahuan semua, Abang Bad ni dah ada degree Biomedic dah, setakat Tahun Pertama ni kacang je bagi dia. Balik kolej terus tidur, malam baru la dia study,kalau saya buat macam Abang Bad tu, alamatnya memang sampai kapan pun takkan lulus.. :p .Ibrahim pula seorang yang kuat study, study saja kerja yang dia tahu. Tapi bila sampai waktu lewat petang, jadi kaki bola pulak si Ibrahim ni. Saya pula bagaimana ya?. Tanyalah kepada mereka bagaimana situasi saya kerana mereka sahaja yang boleh menilai diri saya.


Sahabat-sahabat,

Lupakan sebentar celoteh diatas, saya ingin menyambung lagi tulisan saya ini.Dengan lulusnya saya dalam peperiksaan ini, maka dalam minda sudah mula merancang untuk melakukan pelbagai aktiviti. Antaranya ajakan Abang Badrul untuk bercamping. Sememangnya kami serumah sukakan outdoor activity. Jika melibatkan hutan-hutan ni semuanya setuju. Sebut saja kawasan air terjun di sekitar Ipoh,Gopeng,Kuala Kangsar dan Jelapang, semuanya sudah kami jejaki. Dan kali ini ingin mencuba sesuatu yang baru iaitu dengan bercamping. Tempat masih belum di tetapkan tetapi antara cadangan dari kawan-kawan ialah Teluk Batik di Lumut ataupun Pulau Pangkor. Insyaallah teman-teman serumahku, kita akan bincangkan nanti!


Bermula esok, saya akan ke satu tempat di Perak kerana menjadi terlibat dengan satu kem, sehingga 13 Mei. Seronok rasanya dapat mengisi waktu yang terluang ini dengan pelbagai aktiviti. Semoga saya tidak membuang masa di rumah sahaja dan menggunakan masa ini untuk memberi manfaat kepada orang lain.


Saya juga berharap semoga dengan kejayaan ini dapat memberi saya semangat untuk terus berusaha dalam pelajaran dan juga terus intima' serta istiqamah dalam jemaah. Doakan saya supaya sentiasa berada dalam suasana yang mampu membentuk diri saya menjadi lebih baik dari hari ini dan akan menjadi bertambah baik pada masa-masa yang mendatang.. Aaaminn


Syakur Ibrahim

Pesanan Abul 'Ala Al-Maududi kepada Mahasiswa


"Wahai Pelajar! Kamu telah melabur sekian lama masa kamu di universiti ini untuk mendapat pendidikan. Kamu telah lama menunggu saat di mana kamu akan menuai hasil usaha kamu itu dalam bentuk segulung ijazah.


Aku merasai betapa tersentuhnya jiwa kamu dalam majlis sebegini, maka menjadi satu kesukaran buat aku berterus-terang kepada kamu pada saat ini.


Walaubagaimanapun aku perlu berlaku jujur, bahawa dalam menilai tempat kau dididik ini, malah kesemua tempat pendidikan yang bernama universiti ini tidak ubah seperti tempat penyembelihan berbanding tempat pendidikan.


Ijazah yang dihulurkan tidak ubah seperti sijil kematian, diberikan apabila si pembunuh sudah berpuas hati kerana telah berjaya menyempurnakan penyembelihannya; alangkah bertuahnya kepada mereka yang telah berjaya melarikan diri daripada penyembelihan terancang ini dengan sedikit cahaya kehidupan.


Aku tidak hadir ke sini untuk mengucapkan tahniah kepada kamu kerana telah menerima sijil kematian tersebut.


Malah sebaliknya, aku berasa teramat sedih melihat kamu semua dalam keadaan yang teruk. Aku seperti seseorang yang sedang mencari manusia yang masih hidup dalam timbunan mayat di sini."


Tuesday, May 6, 2008

Mahalnya!

Ya Allah mahalnya, itulah perkataan yang berlegar-legar di minda saya. Kenapa ya?.. apa yang mahal sangat tu?..

Begini, petang tadi ketika merayau-rayau di alam siber ni, saya singgah sebentar di blog YB yang saya kagumi iaitu Zulkifli Noordin, MP Kulim/Bandar Baharu dari Parti Keadilan Rakyat. Bukanlah sebab politik yang saya cuba nak selitkan. Tetapi saya nak kongsi dengan rakan-rakan pembaca, apa yang saya dapat di blog YB kita ni. Beliau ceritakan sedikit perihal parlimen yang rasa-rasanya sebelum ni kita tak pernah tahu. Artikel yang bersifat "santai abis" yang ditulis YB di blognya memang menarik perhatian. Di bawah garis putus-putus ini lampirkan tulisan YB Zulkifli Noordin.

----------------------------------------------------------------------



Ni gambar saya dengan wife tersayang, Maimun, depan Menara Parlimen..ngkorang tau uniform saya pake tu namanya No. 1 Dress atau baju istiadat. Punyalah mahai..baju saje RM450/= (kosong woiii). Seluar tu RM250/=. Songkok tu ngkorang jangan tak tau..RM120/=. Kalu beli songkok kosong kat Mydin RM13/= je. Depa cuma tambah riben kuning dgn badge Parlimen..praappp..jadi RM120/= !!! Yang appollete & geogette (kat bahu & collar tu) sama harga dengan gaji sebulan mata-mata..RM600/=. Yang butang-butang tu RM80/=. Total RM1500/=. Demam kalu kena bayar sendiri sheh. Nasib baik Parlimen yang bayar..tapi saya ingat ni semua membazir wang rakyat je. Saya ingat kalu makcik-makcik yang kuar Bersama Mu tu tau harga uniform ni mau dia tempeleng kitorang..adios

No. 1 Dress
- Baju Rm 450
- Seluar Rm 250
- Songkok Rm 120
- Appollette/Geogette Rm 80
- Butang Rm 80
Total Rm 1500
x 222 MP = Rm 333,000


Zulkifli Noordin

Merenung Sebuah Kehidupan


Bersama rakan-rakan di Padang Polo, Ipoh pada malam minggu

Assalamualaikum w.b.t,



Catatan 1

Melihat kepada situasi pada masa ini, sangat ramai muda-mudi terutamanya mahasiswa sudah mula melibatkan diri dengan blog. Saya melihat ianya adalah sesuatu yang positif sekiranya blog digunakan untuk menyampaikan maklumat yang bernas kepada pengunjung mereka.

Di samping itu, tidak lupa juga saya mengajak rakan-rakan serumah saya, Abang Bad, Salam, Ibrahim, Helmi, Hakem, Fairuz dan juga Shafi untuk sama-sama mewujudkan blog peribadi. Sememangnya kehidupan seperti kami ini jika dilihat orang awam seperti manusia yang sangat kekurangan masa lapang-buktinya, kelas pengajian bermula 8 pagi dan berakhir 4 petang. Setiap hari kecuali hujung minggu.

Mengambil kata jiran-jiran, "waktu siang tak nampak batang hidung di rumah pun." Kami pun ketawa, "hahaha"..

Tetapi sahabat-sahabat jangan lupa ya, kita ada waktu kosong pada malam hari, masih lagi sempat untuk kita mengemaskini blog kita. Sedangkan perlawanan antara Chelsea dan Manchester United pun masih mampu kita tonton diambang malam peperiksaan, takkan la nak update blog yang hanya tak sampai 30 minit pon tak boleh. :p

Oleh itu, pada Tahun Kedua pengajian kita nanti, ayuh lah kita sama-sama terlibat dalam dunia blog supaya dapat berkongsi ilmu dengan pengguna-pengguna siber yang lain.

Catatan 2

Sebelum bercuti ini saya terlibat dengan satu program, program yang saya tidak tahu apa pengisiannya,di mana tempatnya, berapa hari berlangsung dan hanya dikhabarkan sebagai program release tension ataupun membebaskan diri dari ketegangan.

Dalam bidang fisiologi perubatan, di bahagian alveolus pada paru-paru terdapat satu bahan yang akan mengurangkan ketegangan pada permukaannya, dinamakan sebagai surfactant. mengikut Lap Ice Law, pada radius(jejari) yang kecil ketegangan permukaan adalah sangat kuat berbanding dengan ketengangan permukaaan pada radius yang besar. Bermakna, tekanan di dalam radius yang kecil adalah sangat tinggi, ini akan menyebabkan tekanan-tekanan dalam radius yang kecil ini ini ditolak kepada alveolus yang mempunyai radius yang besar. Kesannya, alveolus yang merjejari besar akan menampung tekanan yang sangat tinggi dan akan pecah. Allah Maha Berkuasa, diberinya kepada kita surfactant ini supaya dapat mengurangkan ketegangan pada permukaan alveolus kita supaya tidak pecah dan kita dapat bernafas hanya dengan semudah ABC untuk menikmati oksigen yang Allah berikan dengan sifat Ar-Rahman-Nya.

sahabat-sahabat,

Kita tinggalkan sekejap bidang fisiologi tadi,kembali kepada maksud sebenar untuk catatan 2 ini. Secara analoginya saya cuba nak kaitkan bahawa sebenarnya, peserta-pesrta yang hadir program itu, berada dalam keadaan yang sangat-sangat tegang(tension) kerana tidak diberitahu dengan tepat gambaran program. Saya mengandaikan gambaran program adalah umpama surfactant yang dapat mengurangkan ketegangan permukaan. Jika gambaran program dan perlaksanaan program adalah jauh berlainan dengan gambaran program, maka wujudlah satu ketegangan dari para peserta. Dan fungsi surfactant itu tidak ada keberkesanannya.

Kesannya, saya membuat satu perkara yang tidak pernah dilakukan iaitu, terus balik ke rumah atau dalam kata lainnya lari dari kem.

Catatan 3

Semalam saya mendapat sms dari Akhi Hadyan, Ex-Presiden Islamic Student Club.

"Salam, tamrin akan diadakan pada **-** Mei ini di sekitar *****. kita akan bertolak pada 6ptg ke tempat program, harap maklum dan bersedia sepenuhnya"

Inilah cara yang betul tentang gambaran program. Dalam minda sudah sedia dengan gambaran program. Barulah peserta dapat bersedia!

Catatan 4

Teringat kembali setiap kali perjalanan balik pada malam hari dari Ipoh ke Kangar menaiki bas Mara Linear di Medan Gopeng, perkara yang semestinya ialah saya hanya melalui negeri Pakatan Rakyat iaitu Perak,Pulau Pinang dan Kedah. Hanya Perlis sahaja negeri Barisan Nasional.

Tetapi bukan itu yang saya nak ceritakan, siapalah saya nak ceritakan semua ini, mengundi pun tak boleh lagi!.

Apa yang saya nak ceritakan ialah tentang mat rempit. Semestinya istilah ini adalah istilah yang biasa kita dengar. Ceritanya begini, apabila tiba di stesen bas Kangar, dalam perjalanan balik ke kampung saya di Kodiang,Kedah. (Kodiang adalah sempadan bagi negeri Kedah dan Perlis). Di sepanjang jalan kelibat mat-mat rempit sangat menggerunkan. Di kiri kanan jalan, remaja-remaja berdiri menyaksikan perlumbaan. Mujurlah handset saya tak ada kamera, kalau tidak sudah tentu saya akan muatkan gambar-gambar itu dalam blog ini.

Ketika zaman persekolahan dahulu, bagi saya perkara ini adalah biasa, tetapi apabila sudah ke alam yang lebih dewasa, saya nampak jelas perkara ini. Pada fikiran saya, jika saya jadi Perdana Menteri, mahu saja saya rekrut mereka sebagai pejuang berani mati menentang Israel. Kerana apa, kerana mereka sangat berani bergadai nyawa, tidak macam sesetengah orang yang hanya pandai bercakap tetapi penakut. Nah, inilah satu bukti yang bukan sekadar berkata tetapi dengan perbuatan sekali.

Kemudian saya teringat kembali kata-kata seorang rakan saya di kampung, "Melayu kalau ada sesuatu kat tangan mesti akan salah guna, kalau depa dapat motor habis depa modified enjin lepaih tu bawak pi rempit. kalau depa ada handset, habis salah guna buboh macam-macam." ujarnya. Ada benar juga kata-katanya itu.

Tetapi ada lagi satu yang menarik perhatian saya, katanya "Melayu bila sudah ada kuasa, kalau tak ikut Islam, habis semua kuasa depa salah guna". Perrgh.. minat politik juga rakan sekampung saya ini.

Berbalik semula kepada maksud catatan 4 ini, saya tidak membenci mat rempit, cuma apa yang saya dapat katakan sekarang kita perlu terima pendapat orang lain. Menggangu ketenteraman, membahayakan pengguna jalan raya dan menyusahkan pihak polis merupakan antara kesan yang tidak baik. Bukan saya sahaja yang memandang negatif perkara ini, rasanya Ustaz Akhil Hayy juga memandang negatif perkara ini. Betul tak Ustaz? lihatlah klip di ini.






Sekian sahaja catatan saya. Ada lagi catatan-catatan menarik yang akan dikongsi selepas ini. Semoga hidup kita di masa muda dimanfaatkan sepenuhnya. Belia adalah tonggak ummah.

Syakur Ibrahim

Sunday, May 4, 2008

TIDAK AKAN MASUK NERAKA ORANG YANG MENANGIS KERANA TAKUTKAN ALLAH

Rasulullah S.A.W telah bersabda, "Bahawa tidak akan masuk neraka orang menangis kerana takut kepada Allah sehingga ada air susu kembali ke tempat asalnya."
Dalam sebuah kitab Daqa'iqul Akhbar menerangkan bahawa akan didatangkan seorang hamba pada hari kiamat nanti, dan sangat beratlah timbangan kejahatannya, dan telah diperintahkan untuk dimasukkan ke dalam neraka.
Maka salah satu daripada rambut-rambut matanya berkata, "Wahai Tuhanku, Rasul Engkau Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda, sesiapa yang menangis kerana takut kepada Allah S.W.T, maka Allah mengharamkan matanya itu ke neraka dan sesungguhnya aku menangis kerana amat takut kepada-Mu."

Akhirnya Allah S.W.T mengampuni hamba itu dan menyelamatkannya dari api neraka dengan berkat sehelai rambut yang pernah menangis kerana takut kepada Allah S.W.T. Malaikat Jibril A.S mengumumkan, telah selamat Fulan bin Fulan sebab sehelai rambut."


Dalam sebuah kitab lain, Bidayatul-Hidayah, diceritakan bahawa pada hari kiamat nanti, akan didatangkan neraka jahanam dengan mengeluarkan suaranya, suara nyalaan api yang sangat menggerunkan, semua umat menjadi berlutut kerana kesusahan menghadapinya. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud, "Kamu lihat (pada hari itu) setiap umat berlutut (yakni merangkak pada lututnya). Tiap-tiap umat diseru kepada buku amalannya. (Dikatakan kepadanya) Pada hari ini kamu dibalasi menurut apa-apa yang telah kau kerjakan." (Surah al-Jatsiyah ayat 28)

Sebaik sahaja mereka menghampiri neraka, mereka mendengar kegeraman api neraka dengan nyalaan apinya, dan diterangkan dalam kitab tersebut bahawa suara nyalaan api neraka itu dapat didengar sejauh 500 tahun perjalanan. Pada waktu itu, akan berkata setiap orang hingga Nabi-nabi dengan ucapan, "Diriku, diriku (selamatkanlah diriku Ya Allah) kecuali hanya seorang nabi sahaja yang akan berkata, "Umatku, umatku."


Beliau ialah junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. Pada masa itu akan keluarlah api neraka jahim seperti gunung-gunung, umat Nabi Muhammad berusaha menghalanginya dengan berkata, "Wahai api! Demi hak orang-orang yang solat, demi hak orang-orang yang ahli sedekah, demi hak orang-orang yang khusyuk, demi hak orang-orang yang berpuasa, supaya engkau kembali."

Walaupun dikata demikian, api neraka itu tetap tidak mahu kembali, lalu malaikat Jibril berkata, "Sesungguhnya api neraka itu menuju kepada umat Muhammad S.A.W"
Kemudian Jibril membawa semangkuk air dan Rasulullah meraihnya. Berkata Jibril A.S. "Wahai Rasulullah, ambillah air ini dan siramkanlah kepadanya." Lalu Baginda mengambil dan menyiramkannya pada api itu, maka padamlah api itu.




Setelah itu Rasulullah S.A.W pun bertanya kepada Jibril A.S. "Wahai Jibril, Apakah air itu?" Maka Jibril berkata, "Itulah air mata orang derhaka di kalangan umatmu yang menangis kerana takut kepada Allah S.W.T. Sekarang aku diperintahkan untuk memberikannya kepadamu agar engkau menyiramkan pada api itu." Maka padamlah api itu dengan izin Allah S.W.T.

Telah bersabda Rasulullah S.A.W, " Ya Allah anugerahilah kepada kami dua buah mata yang menangis kerana takut kepada-Mu, sebelum tidak ditemunya air mata."

Saturday, May 3, 2008

Ibu Sayang Kamu


Seorang anak mendapatkan ibunya yang sedang sibuk menyediakan makan
malam di dapur lalu menghulurkan sekeping kertas yang bertulis
sesuatu. Si ibu segera mengesatkan tangan di apron menyambut kertas
yang dihulurkan oleh sianak lalu membacanya.

Kos upah membantu ibu:
1) Tolong pergi kedai RM4.00
2) Tolong jaga adik RM4.00
3) Tolong buang sampah RM1.00
4) Tolong kemas bilik RM2.00
5) Tolong siram bunga RM3.00
6) Tolong sapu sampah RM3.00
Jumlah : RM17.00

Selesai membaca, si ibu tersenyum memandang si anak sambil sesuatu
berlegar-legar si mindanya. Si ibu mencapai sebatang pen dan menulis
sesuatu di belakang kertas yang sama.

1) Kos mengandungkanmu selama 9 bulan - PERCUMA
2) Kos berjaga malam kerana menjagamu - PERCUMA
3) Kos air mata yang menitis keranamu - PERCUMA
4) Kos kerunsingan kerana bimbangkanmu - PERCUMA
5) Kos menyediakan makan minum, pakaian, dan keperluanmu -PERCUMA
Jumlah Keseluruhan Nilai Kasihku - PERCUMA

Air mata si anak berlinang setelah membaca apa yang dituliskan oleh
si ibu. Si anak menatap wajah ibu,memeluknya dan berkata,"Saya Sayangkan
Ibu". Kemudian si anak mengambil pen dan menulis'Telah Dibayar'pada
mukasurat yang ditulisnya.
Diriwayatkan seorang telah bertemu Rasulullah SAW dan bertanya,"Wahai
Rasulullah, siapakah yang paling berhak
mendapat layanan baik dariku?" Rasulullah menjawab,"Ibumu(dan diulang
sebanyak tiga kali), kemudian ayahmu, kemudian saudara-saudara
terdekatmu."

"Ya Allah, Ampunilah dosaku, dosa kedua ibu bapaku"


10 wasiat As-Syahid Hassan Al-Banna



1. Apabila mendengar azan maka bangunlah sembahyang serta-merta walaubagaimana keadaan sekalipun.

2. Bacalah al-Quran, tatapilah buku-buku ilmu, pergilah ke majlis-majlis ilmu, dan amalkanlah zikrullah dan janganlah membuang masa dalam perkara yang tiada memberi faedah.

3. Berusahalah untuk bertutur dalam bahasa Arab Fushah kerana bahasa Arab yang betul itu adalah syiar Islam.

4. Janganlah bertengkar dalam apa-apa perkara sekalipun kerana pertengkaran yang kosong tiada memberi apa-apa jua kebaikan.

5. Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.

6. Janganlah banyak bergurau kerana umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara.

7. Janganlah bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh pendengar kerana percakapan yang nyaring itu adalah suatu perbuatan yang sia-sia malah menyakiti hati orang.

8. Jauhilah daripada mengumpat-umpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan apa- apa yang memberi kebajikan.

9. Berkenal-kenalanlah dengan setiap Muslim yang ditemui kerana asas gerakan dakwah ialah berkenal-kenalan dan berkasih-sayang.

10. Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada pada kita, oleh itu gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskanlah perlaksanaannya

Thursday, May 1, 2008

Pembersihan Jiwa

sumber: kembara-muslim

Ketawalah sedikit dan menangislah banyak




Dalam seharian kita hidup didunia,jiwa yang kadang-kadang sering jauh dari Allah sentiasa membuatkan kita alpa...Astagfirullah,kita banyak bergembira dari bersedih...kita banyak ketawa dari menangis,kita banyak menyayangi keduniaan kita dari Allah s.w.t....


Saya mahu nasihatkan diri saya dan kalian semua,marilah kita kurangkan ketawa didunia..kita mungkin ketawa didunia dan menangis di Akhirat,kita mungkin bergembira didunia dan bersedih di Akhirat....jgnlah seperti itu....


Biar kita semua bersedih,menangisi dosa-dosa kita agar di akhirat kelak ...Kita menjadi Manusia yang paling gembira...insyallah..Kita mesti menanggung kesusahanbiar kita terasa susah mengawal nafsu didunia agar terasa senang diakhirat...kurangkan ketawa banyakkan menangis....


Ya Allah, sesungguhnya engkau amat pemaaf, menyukai kemaafan, maka maafkanlah kami'

Sesungguhnya Allah berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.

pohonlah keampunan dari Allah sebelum terlambat...mungkin dalam kita dok gembira,bersuka ria...

malaikat maut datang menjemput..bersederhanalah dalam kehidupan..

"kurangkan ketawa banyakkan menangis"

Allahu allam...apa yg benar itu datang dari Allah dan yng salah itu dtg dari diri ana yg jahil...

Salam Kemaafan

Assalamualaikum wbt..

Saya mintak maaf banyak-banyak kepada sahabat-sahabat yang melayari blog ini. Saya dalam proses menambahbaikkan blog ini. Sebarang kesulitan amat dikesali